fbpx

Pelanggan kurang, ramai peniaga cabut lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fairos menyediakan lauk yang dijual di gerainya di Hentian Bas dan Teksi Kluang, Kluang semalam.

KLUANG – Peniaga makanan yang mencari rezeki di gerai milik Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di Hentian Bas dan Teksi Kluang di sini terpaksa berpindah ke lokasi lain selepas tidak sanggup menanggung kerugian susulan kurangnya pe­langgan di kawasan premis berkenaan.

Situasi itu menyebabkan hanya terdapat kira-kira 20 gerai termasuk peniaga yang menyediakan perkhidmatan menjahit pakaian, menjual majalah atau surat khabar serta makanan ringan yang masih bertahan dan membuka jualan setiap hari.

Seorang peniaga makanan, Fairos Jusuf, 55, berkata, kekurangan pelanggan di gerai yang terletak tingkat atas Hentian Bas Kluang itu mula ketara selepas negara dilanda wabak Covid-19 sejak Mac 2020.

Katanya, walaupun negara kini sudah memasuki fasa endamik, namun keadaannya tetap sama apabila orang ramai tidak lagi menjadikan bas sebagai pengangkutan mereka, sekali gus menyaksikan kawasan perniagaan itu lengang.

“Jualan kami hanya cukup-cukup makan selepas ditolak kos bahan mentah, malah ada ketika seperti tidak bergaji selepas seharian berada di kedai.

“Diharapkan selepas bas ekspres­ kembali beroperasi semula, ia akan meningkatkan lagi kehadiran pelanggan di sini seterusnya membantu kami menambah pendapatan hasil jualan makanan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Fairos, para peniaga di kawasan itu sebenar­nya mengharapkan pelanggan luar dan bukan semata-mata kepada penumpang bas atau teksi bagi mengelak mereka gulung tikar.

Sementara itu, seorang pe­langgan gerai makan dikenali sebagai Alif, 30, berkata, kurangnya kedai menjual makanan yang beroperasi di premis berkenaan mungkin menjadi faktor orang ramai tidak datang ke kawasan tersebut.

Ujarnya, para pelanggan sebolehnya mahu mencari kedai makan yang menyediakan pelbagai pilihan makanan seperti yang disediakan oleh beberapa peniaga di sekitar bandar Kluang ini.

“Peniaga khususnya yang menjual makanan perlu kreatif untuk menyediakan menu yang dijual setiap hari dan tidak hanya mengharapkan penumpang bas semata-mata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI