TEKA-teki mengenai masa depan penyerang muda skuad Harimau Malaya, Luqman Hakim Shamsudin akhirnya terjawab selepas berkelana ke Liga Divisyen 2 Iceland, Njardvik FC secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk semalam.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab Njardvik FC, pemain berusia 21 tahun itu akan menyarung jersi pasukan selama semusim sehingga penghujung tahun ini.
“Njardvik mencapai kata sepakat dengan KV Kortrijk untuk meminjam Luqman selama semusim sepanjang 2023.
“Luqman yang berasal dari Malaysia adalah pemain di bahagian serangan dengan dua penampilan bersama skuad kebangsaan Malaysia selain melakukan penampilan bersama skuad muda Harimau Malaya.
“Penyerang yang baru berusia 21 tahun itu termasuk dalam senarai 60 pemain muda berpotensi pada 2019. Sebagai rekod, dia telah menyertai K.V Kortrijk pada 2020 dan membuat dua penampilan dalam Liga Belgium. Selain itu, dia juga beraksi bersama skuad B-21 tahun kelab.
“Luqman selamat tiba di negara ini dan kami tidak sabar untuk melihat dia beraksi dengan menyarung jersi pasukan,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu membuat penampilan sulung bersama Kortrijk pada Oktober musim 2020 ketika bertemu Anderlecht dan aksi menentang KVC Westerlo pada Oktober tahun lalu sebagai pemain gantian.