PUTRAJAYA – Lawatan sulung rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand selama dua hari bermula esok disifatkan bakal membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.
Wisma Putra berkata, kunjungan pertama Perdana Menteri ke negara jiran itu dijalankan atas jemputan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha.
“Beliau juga akan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta para pegawai kanan kerajaan bersama-sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Azmi Nik Ahmad,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Wisma Putra berkata, pertemuan Perdana Menteri dengan Prayut dijangka memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama dalam pelbagai isu meliputi ekonomi, pembangunan kawasan sempadan serta projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat kedua-dua negara jiran ini.
“Mereka berdua turut akan hadir menyaksikan pertukaran empat dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama tenaga dan ekonomi digital dua negara,” jelasnya.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin tersebut juga dijangka bertukar-tukar pandangan masing-masing mengenai isu serantau dan sejagat yang berkepentingan bersama.
“Selain itu, Anwar akan mengadakan satu sesi libat urus dengan rakyat negara ini yang telah lama berada di Thailand dan membentuk kelompok diaspora Malaysia di Bangkok. – KOSMO! ONLINE