fbpx

Kubur kata mari? Al-Jawaher tegaskan dakwah seni tak kenal usia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-JAWAHER muncul dengan single terbaharu berjudul Bring Me Close To You.

PETALING JAYA – Hampir 50 tahun berdiri sebagai kumpulan nasyid, Al-Jawaher tidak hirau dengan tanggapan sebilangan pihak yang menyatakan survival seni mereka sudah patut dinoktahkan seperti pepatah Melayu, rumah kata pergi, kubur kata mari.

Kata ketua kumpulan, Norhaiyati Yusop, meskipun usia masing-masing sudah lanjut berpangkat nenek, itu bukan penghalang buat mereka untuk terus setia berdakwah melalui seni muzik.

“Kalau kita nak berdakwah tak kiralah usia tua pun, kita boleh lakukannya selagi masih punya kudrat.

“Kita bukan nak kejar populariti. Kalau nak kejar populariti, itu semua dah berlalu zaman dahulu. Niat kita nak berdakwah melalui lagu-lagu berunsur ketuhanan atau kerohanian,” kata Norhaiyati, 59.

Menurutnya lagi, meskipun zaman sudah berubah namun semangat mereka untuk terus memperjuangkan muzik nasyid tidak pernah luntur.

“Sampai sekarang kami masih aktif sebab ada permintaan persembahan dari banyak pihak. Lagu-lagu sampai sekarang orang masih mainkan.

“Rahsia kami masih kekal sampai sekarang adalah komunikasi. Saya sebagai ketua kumpulan sangat bertegas dengan semua ahli. Kalau ada latihan, saya akan catit kedatangan.

“Saya rasa kalau saya tak bertegas, mungkin usia Al-Jawaher tak sampai sekarang. Dengan bantuan teknologi seperti WhatsApp pun buatkan hubungan kami makin akrab dari tahun ke tahun. Kami ada WhatsApp Group dan sering berborak dan bertukar pandangan,” ujarnya lagi.

Mula disatukan dan menapak dalam arena nasyid pada 1979, kumpulan berasal dari Singapura itu kekal komited dalam memenuhi setiap undangan persembahan hingga kini.

Biarpun kelibat mereka saban tahun dilihat semakin suram, semangat kumpulan yang turut dianggotai Habibah Othman, Siti Rosminah Jaafar, Hajar Mohamed, Normala Mohd, Jumuyah Kasbari dan Latifah Johari itu tidak pernah luntur.

Terbaharu, kumpulan yang diasaskan oleh Ustaz Abdul Karim itu tampil mempertaruhkan single terbaharu dalam bahasa Inggeris dan Arab berjudul Bring Me Close To You.

Susunan muzik daripada komposer, Yazri Malik itu berbeza daripada genre yang kebiasaannya dibawa.

“Penghasilan lagu dengan gabungan bahasa Inggeris dan Arab ini disebabkan kami mahu cari kelainan dan ingin cuba tembusi pasaran antarabangsa.

“Ia juga adalah inspirasi daripada penyanyi, Maher Zain. Kalau lihat, dia pernah menyanyi dalam bahasa Melayu walaupun tidak begitu lancar, tapi penerimaannya di Malaysia sangat baik.

“Untuk lagu ini komposer memang mahukan kelainan dan kami hanya ikut citarasanya. Bagaimanapun, sebelum menerima lagu, kami dengar dahulu untuk lihat kesesuaiannya.

“Kami bersyukur apabila komposer untuk lagu ini sangat memahami dan terbuka dalam menerima setiap idea yang dikemukakan.

“Lagu ini juga ada dalam versi bahasa Melayu dan judulnya adalah Bawa Daku Mendekati Mu. Versi ini adalah untuk kami pasarkan ke saluran yang tidak memainkan lagu bahasa Inggeris,” ujarnya.

Sepanjang 44 tahun menelusuri arena nasyid, Al-Jawareh sudah menerbitkan enam album bermula dengan Permata pada 1980, kemudian diikuti Perjalanan (1981), Warna Alam (1982), Berita Gembira (1984), Alam Insan (1989) dan Lambaian Raudah (2019). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI