KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) merancang untuk mengadakan aksi pramusim di Eropah pada tahun depan selepas menamatkan siri Jelajah Pramusim dengan kekalahan 0-3 kepada Zenit di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam.
Pada aksi terakhir menentang juara Liga Rusia itu, skuad Harimau Selatan tewas hasil jaringan Rodrigo, Malcom dan jaringan Danila Kozlov dengan semua gol dilakukan pada babak pertama.
Ketua jurulatih JDT, Esteban Solari mengakui empat aksi persahabatan kompetitif yang diharungi di UAE memastikan pasukannya bersedia sepenuhnya menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirai pada 24 Februari depan.
Kata Solari, kekalahan kedua yang direkodkan oleh anak-anak buahnya kepada Zenit sudah dijangka kerana standard yang ada dalam skuad lawan itu sememangnya berbeza.
“Ini adalah perlawanan yang kami sememangnya perlukan untuk memastikan kami humble dan tidak mengambil apa-apa dengan mudah sebelum bermulanya musim 2023.
“Dengan menentang lawan yang mempunyai standard yang lebih tinggi, dalam situasi ini berdepan juara Liga Rusia yang bermain di Liga Juara-Juara Eropah akan membantu kami untuk belajar dan bertambah baik.
“Ini adalah satu-satunya cara untuk kami menjadi lebih mantap dan lebih kuat.
“Malah, saya telah berbincang dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik JDT) dan berkemungkinan kami akan mengadakan kempen pramusim di Eropah pula pada tahun depan,” kata pengendali import dari Argentina itu.
Sebelum ini, JDT telah tewas 0-2 kepada FC Rostov sebelum merekodkan kemenangan ke atas kelab UAE, Fursan Hispania 3-0 dan menang 1-0 ke atas kelab Bulgaria, Levski Sofia tetapi aksi lebih awal susulan insiden pergaduhan antara kedua-dua pasukan.
Minggu lalu, JDT berjaya cipta kejutan dengan membenam satu lagi kelab Rusia, Locomotiv Moscow 1-0.
Harimau Selatan telah mencatat sejarah pada kempen Liga M musim lepas apabila ‘sapu bersih’ empat trofi utama dengan menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super.