PETALING JAYA – Bahaya gempa bumi susulan dan cuaca sejuk antara cabaran besar bagi misi mencari dan menyelamat (SAR) Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Turkiye.
Namun, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata, beliau yakin dengan kemampuan dan kecekapan pasukan SMART dalam mengawal situasi bencana.
“Hari ini mereka baru masuk ke ‘ground zero’ dan antara kesukaran yang bakal mereka hadapi antaranya struktur bangunan tidak stabil, cuaca sejuk, selain gempa bumi yang masih berlaku.
“Walaupun SMART ada bawa bersama alat pengesan gegaran gempa bumi dan peralatan lain, mereka tetap perlu berhati-hati,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Dalam masa sama, beliau berharap supaya 75 anggota SMART itu dapat membantu mencari mangsa terlibat seramai mungkin.
“Selalu kami pesan, mereka bawa bendera Malaysia. Jadi, seluruh pasukan kena buktikan yang mereka memang bertaraf dunia sepertimana mereka dikenali kini.
“Tak ada keraguan terhadap kemampuan mereka dan setakat ini apa yang pihak kami sedia maklum, seluruh pasukan berada dalam keadaan baik dan bersemangat meneruskan misi.
Ditanya mengenai status ‘tugas khas’ dua anjing terlatih dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah bermula atau tidak, Khairul Shahril memaklumkan penilaian SMART memutuskan khidmat K9 ditangguhkan buat masa ini.
“Belum ada keperluan disebabkan keutamaan dan fokus sekarang adalah untuk menyelamatkan nyawa.
“Tindakan selepas itu juga bergantung kepada penilaian pasukan sebelum ke fasa selanjutnya memandangkan mereka baru masuk ke kawasan ‘ground zero’,” jelas beliau.
Nadma sebelumnya menerusi Facebook melaporkan, Pasukan SMART dijangka memasuki ‘ground zero’ hari ini, namun terdapat kelewatan berikutan masalah kesesakan di lapangan terbang Adana yang merupakan pintu masuk ke ground zero.
“Pergerakan menggunakan jalan darat dari Adana ke Gaziantep akan mengambil masa lebih kurang tiga jam,” katanya. – KOSMO! ONLINE