MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag perlu mencari solusi terbaik bagi memastikan pasukannya tidak terkesan ekoran ketiadaan tonggak utamanya, Casemiro yang digantung tiga perlawanan akibat layangan kad merah.
Awal pagi esok menyaksikan United akan turun melayan kunjungan Leeds United di Old Trafford dalam usaha meraih mata penuh untuk mengintai kedudukan yang lebih baik apabila menghuni tangga ketiga Liga Perdana Inggeris ketika ini.
Selain kehilangan Casemiro, Ten Hag juga tidak dapat menggunakan khidmat Christian Eriksen, Donny Van De Beek dan Scott McTominay akibat kecederaan menyebabkan beliau tidak mempunyai banyak pilihan.
Seorang lagi pemainnya, Fred hampir pasti akan diturunkan untuk bertindak sebagai pemain tengah bertahan, namun kehadiran Marcel Sabitzer yang tiba untuk melakukan tugas-tugas yang ditinggalkan Eriksen berbanding Casemiro.
Justeru, pengurus dari Belanda itu mungkin terpaksa mengubah sedikit peranan yang dimainkan oleh pemain pertahanan tengahnya, Victor Lindelof untuk beraksi sebagai pemain tengah bertahan.
“Lindelof sebelum ini pernah beraksi sebagai pemain No. 6 yang mengawal kawasan tengah bertahan ketika bersama Benfica, jadi saya percaya dia mampu untuk melakukannya dan kami juga sudah mencubanya ketika sesi latihan.
“Saya fikir tidak ada yang janggal kerana adakalanya pemain pertahanan beraksi di bahagian tengah mampu memberikan dinamik yang berbeza kepada pasukan,” katanya.
Selain Lindelof, Ten Hag juga boleh memilih untuk menjadikan seorang lagi pemain bek tengah, Lisandro Martinez di posisi berkenaan apabila dia juga pernah beraksi di posisi berkenaan ketika bersamanya di Ajax sebelum ini. – AGENSI