LONDON – Manchester City mengambil langkah drastik dengan melantik peguam terkemuka, Lord Pannick KC untuk mewakili kelab itu dalam usaha mempertahankan mereka daripada 100 pertuduhan berhubung dakwaan melanggar Peraturan Kewangan Adil (FFP).
Peguam berkenaan pernah memberikan khidmat nasihat kepada bekas Perdana Menteri, Boris Johnson berkaitan siasatan Partygate malah pada 2020, Lord Pannick KC turut memainkan peranan besar semasa Mahkamah Timbang Tara (CAS) membatalkan hukuman penggantungan dua tahun oleh UEFA terhadap Man. City.
Pannick dilaporkan mengenakan bayaran £5,000 (RM25,893) per jam dan kelab itu cukup yakin mampu raih kejayaan dalam usaha mereka mempertahankan diri daripada setiap pertuduhan.
Ketika ini, timbul persoalan tentang hukuman yang mungkin akan diberikan dan sejauh mana kesan bakal diterima City khususnya membabitkan kejuaraan yang pernah dimenangi sebelum ini.
Melucutkan gelaran adalah di bawah bidang kuasa Liga Perdana Inggeris (EPL), namun jika hukuman itu dikenakan, ia pasti memberi tamparan berat buat para pemain mereka.
Bagaimanapun, berdasarkan kes sebelum ini, sekiranya didapati bersalah, City berpotensi dikenakan hukuman berat iaitu penolakan mata, membayar pampasan dan paling teruk boleh disingkirkan daripada saingan EPL. – AGENSI