LONDON – Bintang sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane tidak menafikan bahawa dia mungkin akan meninggalkan pasukan itu pada musim panas nanti selepas berjaya muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab berkenaan.
Penggempur berusia 29 tahun itu berjaya mengatasi pencapaian 266 gol milik Jimmy Greaves ketika meledak gol tunggal perlawanan menewaskan Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin.
Ketika ditanya mengenai masa depannya dan kesediaannya untuk berjanji kepada penyokong Spurs bahawa dia akan terus kekal bersama kelab itu, Kane dilihat cuba mengelak dan tidak memberikan jawapan berkenaan.
“Saya berada di sini untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Saya mahu memberikan sepenuh fokus pada saingan musim ini.
“Kami masih bersaing dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara serta berada pada kedudukan terbaik untuk mendaki tangga pada saingan liga. Ini fokus yang saya mahu berikan terlebih dahulu,” katanya.
Kane dikaitkan dengan beberapa spekulasi termasuk berhijrah ke Bundesliga bersama Bayern Munich yang sedang menunggu peluang untuk mendapatkan khidmatnya bagi menggantikan Robert Lewandowski.
Bagaimanapun, Manchester United yang sejak sekian lama dikaitkan dengan Kane mungkin tidak akan memberikan laluan mudah apabila pemain itu dianggap sebagai pelengkap kepada ‘ruang kosong’ yang diperlukan oleh The Red Devils untuk kembali memburu kejuaraan selepas sekian lama kemarau. – AGENSI