fbpx

Cat Farish sah bercerai, enggan buka aib bekas isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KATA Cat Farish, perkahwinannya bersama Suriani Hassan tidak berjalan dengan sempurna, maka perpisahan adalah jalan terbaik. Foto - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PETALING JAYA – Penyanyi rap Cat Farish, 49, mengesahkan sudah bercerai dengan isterinya Suriani Hassan, 37, talak satu di Mahkamah Syariah Sendayan, Negeri Sembilan pada 16 Januari lalu.

Menurutnya, pengesahan perpisahan tersebut sekali gus menolak dakwaan dirinya menceraikan Suriani dengan talak tiga seperti yang didedahkan bekas isterinya sebelum ini.

“Wujud beberapa isu yang terlalu peribadi untuk saya kongsikan tetapi apabila cerita ini bertukar tangan sudah berbeza.

“Perceraian itu memang berlaku tapi hanya talak satu, bukan talak tiga,” katanya.

Anggota kumpulan Ruffedge itu bagaimanapun berpendirian enggan membuka pekung di dada terutama aib bekas isterinya kepada umum.

Katanya, punca perpisahan juga tercetus kerana beberapa konflik dalaman sehingga rumah tangga mereka tidak mampu untuk diteruskan.

“Saya tak mahu membuka aib terlalu banyak kerana perceraian ini bermula daripada pihak lelaki yang menceraikan wanita. Tidak ada isteri yang menceraikan suaminya.

“Ada konflik membabitkan anak-anak serta keluarga dan untuk saya buka aib itu rasanya tak elok sebab dia pun masih muda.

“Biarlah aibnya terbuka dengan sendiri agar saya tidak perlu mengiyakan atau menidakkan. Perkahwinan kami tidak berlangsung dengan sempurna dan jalan yang paling selamat adalah berpisah,” katanya lagi.

PERKAHWINAN yang dibina Cat bersama Suriani pada November 2020 akhirnya terlerai pada 16 Januari lalu.

Dalam pada itu, keputusan berdiam diri seperti yang dilakukannya sebelum ini adalah untuk memberi ruang kepada kedua-dua belah pihak mengawal emosi.

“Saya berdiam diri sebab saya tahu emosi orang, lebih-lebih lagi kalau kedua-duanya pun ibarat ‘api’, pasti akan jadi lebih teruk.

“Jadi, saya tunggu sampai tarikh perbicaraan di mahkamah dan hakim pun tidak cakap apa-apa, cuma nak mengesahkan talak yang saya lafazkan,” jelasnya.

Akui Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, tabiatnya yang gemar bercakap berulang kali menjadi punca dia didakwa melafazkan talak tiga sebelum ini.

“Disebabkan sikap saya yang selalu cakap berulang-ulang menyebabkan perkara itu berlaku (dikatakan cerai talak tiga).

“Nak berdamai pun tak berjaya sebab dia awal-awal lagi sudah keluar rumah dan tinggal bersama keluarganya di Senawang, Negeri Sembilan.

“Hendak berkomunikasi dengannya pun sukar sebab bila diberi peluang untuk bercakap pasti ada topik yang timbul hingga akhirnya membuatkan emosi masing-masing terganggu. Jadi, lebih baik elakkan diri daripada bercakap dan saya memilih berurusan dengan ahli keluarganya,” ujarnya.

Mengenai pengajaran terbesar untuk perkahwinan kedua ini, penyanyi itu berkata, dia tidak akan terburu-buru untuk menikahi seseorang selepas ini.

“Selain itu, dalam perhubungan ini juga perlu dapatkan restu anak-anak. Kalau seseorang itu boleh menerima kehadiran anak dengan baik dan jujur, saya rasa tiada masalah.

“Saya tak cakap bekas isteri tak terima anak saya tapi ada masalah berkaitan yang wujud.

“Hubungan saya dengan bekas isteri menerusi perkahwinan pertama yang sebelum ini baik juga turut mengganggu hubungan yang kami bina,” jelasnya.

Terdahulu, Suriani mendedahkan Cat melafazkan cerai sebanyak tiga kali dalam satu masa pada 13 Disember lalu walaupun perkahwinan mereka baru berusia dua tahun.

Untuk rekod, Cat dan Suriani berkahwin pada 20 November 2020 namun mereka tidak dikurniakan anak.

Sebelum ini, dia pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli dan disahkan bercerai pada April 2016. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13, dan Qul Iskandar,12. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI