fbpx

Cari keghairahan, bawa pulang Piala Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SELEPAS beberapa kejohanan berlangsung pada saingan musim ini, masih belum ada wakil Malaysia yang memenangi sebarang gelaran pada saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) 2023.

Jika dilihat pada kualiti permainan, tidak banyak bezanya jika dibandingkan dengan aksi yang ditampilkan pemain-pemain negara lain kerana pemain-pemain negara masih mampu untuk memberikan saingan setiap kali turun ke gelanggang.

Pada pemerhatian penulis, kualiti permainan serta kemahiran teknikal pemain-pemain Malaysia tidak boleh disangkal, memandangkan sebahagian besar mereka menghuni ranking kelompok 10 teratas dunia.

Sehebat mana pun pemain biarpun sudah bergelar jaguh, pasti akan ada kelemahan yang pada bila-bila masa sahaja digunakan oleh pemain lawan bagi meletakkan mereka dalam keadaan tertekan, seterusnya akur dengan kekalahan.

Kekuatan mental, itulah antara kelemahan ketara yang dapat diperhatikan dalam sebahagian pemain-pemain negara, tidak kira sama berada di bawah nau­ngan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahupun bergerak secara profesional.

Sudah beberapa kali kita dapat menyaksikan senario ini di mana pemain-pemain kita gagal untuk menamatkan perlawanan sebagai pemenang biarpun pada awalnya sudah mendahului pemain lawan dengan perbezaan mata yang agak jauh.

Apabila keyakinan mula hilang, kelemahan ketara semakin kelihatan apabila pemain me­lakukan kesilapan mudah seperti pukulan tidak melepasi jaring serta bulu tangkis terkeluar dari gelanggang permainan.

Perkara ini pernah diakui sendiri jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen ketika anak-anak buahnya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul naib juara pada kejohanan Terbuka India bulan lalu.

Gandingan No.2 dunia itu hampir untuk memenangi gela­ran Jelajah Dunia sulung mereka ketika mendahulu set ketiga 12-5, namun kegagalan untuk mempertahankan kedudukan menyaksikan mereka tewas kepada wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

“Rasa rugi sikit kerana kita masih kalah walaupun sudah mendahului perlawanan. Saya fikir inilah cabaran serta proses yang perlu dihadapi oleh mereka untuk tahu bagaimana nak kendalikan situasi tersebut.

“Selepas ini, sudah tentu kena bermain lebih tenang, yakin dan tidak ambil mudah pemain lawan. Apabila orang mula kejar dan pintas kedudukan, kita akan mula bermain dengan agak gopoh dan perlahan,” katanya.

Dari segi kemampuan teknikal, penulis menganggap pemain negara memiliki kemampuan setara dengan jaguh negara lain, cuma kekuatan mental kita agak kurang ketika berdepan si­tuasi genting.

Pemain perlu mencari semula ke­ghairahan serta keseronokan bermain badminton, sama se­perti disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai.

“Kita minta mereka untuk ingat semula ketika mula bermain badminton pada usia enam atau tujuh tahun. Di manakah kegembiraan itu? mereka harus cari semula ke­ghairahan dan kenikmatan bermain badminton,” ujarnya.

Pemain negara bukanlah tidak ada kemahiran kerana mana mungkin Aaron-Wooi Yik mampu bergelar juara dunia jika hanya bersandarkan pada nasib.

Justeru, ayuh pemain-pemain negara, nyalakan semula ‘api perjuangan’ bagi merelasasikan hasrat seluruh rakyat yang mahu Piala Thomas kembali ke bumi Malaysia selain menamatkan penantian pingat emas pertama dalam Sukan O­limpik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI