KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu bercadang untuk meningkatkan lagi bekalan telur ayam kepada 5,000 papan seminggu menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba akhir April depan.
Pengarah FAMA negeri, Nukman Hashim berkata, inisiatif tersebut bagi memenuhi permintaan pengguna tempatan yang sudah pasti bakal meningkat pada bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Buat masa ini, FAMA Terengganu membekalkan 3,000 papan atau 90,000 biji seminggu bagi mengatasi kekurangan telur ayam yang pernah berlaku sebelum ini.
“Begitupun, kami akan memohon untuk meningkatkan bekalan kepada 5,000 papan atau 150,000 biji seminggu pada bulan Ramadan ini,” katanya pada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Masjid Al-Ikhwan di Kampung Gelong Bilal di sini hari ini.
Nukman berkata, bekalan telur ayam tersebut diperolehi daripada pembekal dari Melaka.
Jelas beliau, ia disebabkan Terengganu masih belum memiliki industri penternakan ayam penelur.
FAMA Terengganu telah mengambil inisiatif membekalkan telur ayam secara konsisten kepada rakyat melalui outlet-outlet peruncitan agensi itu di seluruh negeri ini mulai bulan lalu. – KOSMO! ONLINE