fbpx

Bajet 2023: Felda harap dapat peruntukan infrastruktur tanah rancangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idris Jusoh

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengharapkan kerajaan dapat memperuntukkan sejumlah dana dalam Bajet 2023 bagi pembangunan infrastruktur di tanah rancangan Felda.

Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata, peruntukan bajet itu bagi membangunkan tanah rancangan Felda dan lebih memfokuskan kepada pembangunan Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

Katanya, peruntukan bajet itu juga bagi menyediakan kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya yang lebih selamat kepada peneroka.

“Felda sedang dalam proses transisi untuk berdikari. Bagaimanapun, kita di Felda masih memerlukan kerjasama daripada kerajaan terutamanya program-program penyediaan infrastruktur.

“Ada beberapa program infrastruktur dan juga penambahan utiliti yang Felda perlukan kerjasama dengan kerajaan terutamanya di Felda Sahabat, Sabah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan Felda (KYF) Kali ke-24 di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis berkenaan Idris berkata, KYF kini terus bergerak secara proaktif bagi menjadi sebuah institusi kemahiran yang berkualiti serta melahirkan lebih ramai graduan yang berdaya saing dalam dunia globalisasi.

Tambahnya, KYF juga telah berjaya melakar beberapa pencapaian terbaik antaranya, pengiktirafan kolej pertama melaksanakan program dialisis secara Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) oleh MBOR dan anugerah kolej terbaik melaksanakan program kemahiran ‘Skill and Language Development’ 2022.

“Pengiktirafan ini menjadi tambah nilai kepada program-program latihan kemahiran yang ditawarkan oleh Yayasan Felda.

“Situasi ini telah membuktikan bahawa KYF telah diiktiraf dan terus relevan sebagai pusat latihan kemahiran belia dan beliawanis,” ujarnya.

Pada majlis konvokesyen itu seramai 666 orang graduan berjaya menamatkan pengajian bagi peringkat sijil dan diploma tahun 2021-2022. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI