KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya merampas 410,000 batang rokok putih yang disyaki cuba dibawa masuk mengikut jalan laut di muara Sungai Besut hari ini.
Serbuan Op. Serop pada pukul 3 pagi tersebut berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok terbabit yang dianggarkan bernilai keseluruhan hampir RM250,000.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid, berkata, siasatan awal mendapati bekalan rokok seludup dari negara jiran itu diambil rakyat tempatan di tengah laut.
“Sebelum serbuan, sebuah bot gentian kaca dikesan dalam keadaan mencurigakan di tengah laut, namun suspek meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Begitupun, kami dapat mengenal pasti sebuah lori yang disyaki digunakan mengambil bekalan rokok dari bot terbabit di muara Sungai Besut tidak lama kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Khairulanuar berkata, pemeriksaan lanjut di dalam lori terbabit berjaya menemukan beberapa bungkusan plastik mengandungi berisi rokok putih yang dipercayai ditinggalkan suspek berkenaan.
Tambah beliau, aktiviti penyeludupan rokok putih semakin menjadi-jadi di negeri ini sejak akhir-akhir ini berikutan permintaan tinggi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE