BENTONG – ‘Saya dengar bunyi dentuman yang dahsyat dan suara mangsa minta tolong’.
Demikian kongsi seorang pengawal keselamatan mengenai detik cemas di lokasi kejadian kemalangan melibatkan sebuah van yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands di sini hari ini.
Saksi yang mahu dikenali sebagai Santos, 37, berkata, ketika kejadian, dia sedang bertugas di pos pengawal sebuah ladang hidroponik.
Menurut Santos, ketika kejadian, sebaik terdengar bunyi dentuman, dia dan seorang lagi rakan bergegas ke lokasi kejadian dan melihat kesemua mangsa tersepit di dalam van tersebut.
“Ketika kejadian, saya dengar bunyi dentuman yang amat dahsyat, saya lihat dari pos pengawal keselamatan ada berlaku kemalangan berhampiran tempat kerja.
“Mangsa yang ada dalam kenderaan menjerit minta bantuan untuk selamatkan mereka.
“Atas faktor keselamatan, saya tidak berani untuk menyelamatkan mereka, saya hanya membantu mengawal lalu lintas di lokasi berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tujuh individu maut selepas van yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan ketika menuruni Genting Highlands.
Kejadian pada pukul 1.15 tengah hari itu berlaku di Kilometer 4.8, Jalan Genting Highlands hari ini.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, ketika kejadian, kenderaan itu membawa seramai 14 orang dan dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.
Van tersebut dikatakan terbabas dan melanggar penghadang jalan menyebabkan tujuh mangsa meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE