GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mengamalkan lantikan ahli keluarga sendiri dalam pentadbiran kerajaan negeri itu sejak 2008.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir Pulau Pinang, barisan Exco kerajaan negeri Pulau Pinang telah diingatkan agar tidak melantik ahli keluarga masing-masing dalam sebarang jawatan melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.
“’Tidak ada lantikan ahli keluarga sejak 2008. Sejak dahulu Exco tidak boleh melantik ahli keluarga sendiri dalam pentadbiran negeri.
“Mengenai lantikan yang dibuat Perdana Menteri, itu kena tanya beliau,” katanya selepas majlis penyerahan replika cek kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), sekolah mubaligh dan sekolah menengah persendirian Cina di Komtar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pelantikan ahli keluarga sendiri dalam pentadbiran perlu dielakkan sekiranya boleh menimbulkan konflik kepentingan.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai gesaan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat PH atas dakwaan berbelanja mewah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Kon Yeow berkata, calon-calon PH telah mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, ini kerana, setiap calon PH diwajibkan untuk membuat penyata perbelanjaan bagi kawasan yang ditandingi.
“Penyata ini perlu diserahkan kepada SPR dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan PRU15 digazetkan, dan bagi calon PH Pulau Pinang kita semua telah serahkan penyata ini,” jelasnya.
Tambahnya, rakyat sendiri boleh menilai parti mana yang berbelanja besar pada pilihan raya lalu dengan melihat jumlah penggunaan bendera, billboard (papan gergasi) dan lain-lain. – KOSMO! ONLINE