TENOM – “Saya telah menerima arahan dari pegawai penyiasat, Superintendan Noor Asyikin Shamsuri untuk menjalankan rampasan sebuah telefon bimbit milik salah seorang saksi pendakwaan, Firdaus Wong pada 28 September 2021, kira-kira pukul 2 petang.
“Sejurus penama tiba di pejabat D11 sekitar pukul 7.05 petang, saya kemudiannya mengarahkan Firdaus Wong menyerahkan telefon bimbit milik beliau.
“Saya seterusnya telah mengeluarkan borang pemeriksaan kepada Firdaus Wong,” kata Ketua Unit Siasatan Kanak-Kanak di bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Hirdawati Isa.
Hirdawaty yang juga saksi keenam perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria ketika sesi pemeriksaan utama di Mahkamah Majistret Tenom, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hirdawati memaklumkan telefon bimbit yang dirampas adalah jenis Iphone XS Max berwarna putih berserta satu kad sim Digi.
Terdahulu, pendakwah terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di Mahkamah Majistret Tenom padi untuk menghadiri sambungan perbicaraan pertuduhan gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya.
Ebit tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9.10 pagi dengan menaiki kereta jenis pacuan empat roda Toyota Land Cruiser warna hitam selain diringi beberapa kenderaan lain.
Mengenakan pakaian serba hitam dan berkopiah, Ebit yang ditemani peguam serta sekumpulan individu kelihatan dalam keadaan tenang dan memberikan senyuman ketika memasuki pintu utama mahkamah. – KOSMO! ONLINE