fbpx

Tahanan warga asing ‘Nilai Spring’ sentiasa dilindungi – JIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memastikan tahanan warga asing wanita dan kanak-kanak yang ditahan di ‘Nilai Spring’ baru-baru ini sentiasa dilindungi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, aspek kebajikan tahanan di depot sentiasa terjaga dengan mematuhi piawaian ditetapkan.

“Malah, perkara ini telah menjadi agenda perbincangan semasa pertemuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Tenaga kerjaan dan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia pada 31 Januari lalu.

“JIM sedang mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal dilaksanakan pada kadar segera,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan sebuah portal berita tempatan bertajuk ‘Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia/Komnas HAM) kecam serbuan pekerja Indonesia’ pada 4 Februari lalu.

Khairul Dzaimee berkata, beliau ingin menjelaskan bahawa operasi penguatkuasaan itu tidak terkait dengan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang bermula pada 27 Januari lalu.

Menurutnya, RTK 2.0 antara lain adalah bertujuan memastikan warga asing yang berada dan bekerja dalam negara secara tidak sah diregularisasi untuk bekerja secara sah.

“Dalam hal ini, pendatang asing tanpa izin (PATI) seharusnya mengambil peluang untuk menyertai program RTK 2.0 ini untuk terus berada di Malaysia secara sah,” katanya.

Ujar beliau, pemeriksaan lanjut mendapati, mereka yang ditahan tidak berniat untuk pulang ke negara asal walaupun tanpa dokumen kerana penempatan itu sudah lama wujud malah lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk sekolah.

Jelasnya lagi, penempatan haram itu juga berada di kawasan yang tidak rata dan berpaya selain akses ke kawasan itu hanya dengan berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer (km) serta dikelilingi besi serpihan jerat juga anjing liar.

Pada masa sama, katanya, operasi itu dilaksanakan hasil aduan penduduk setempat dan risikan anggota selama sebulan.

“Ketika operasi dijalankan, kami turut menjumpai beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang malah terdapat cubaan daripada beberapa PATI untuk meloloskan diri daripada ditahan malah ada yang bertindak agresif.

“Operasi yang dilaksanakan oleh pihak JIM ini juga adalah teratur dan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI