PETALING JAYA – Sungai Keratong di Jam. Bahau, Keratong, Rompin, Pahang telah melebihi aras bahaya setakat pukul 1.30 tengah hari tadi.
Menerusi laman Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, aras air 23.9 meter telah melebihi tahap bahaya sebanyak 0.9 meter dan menunjukkan trend menaik.
Ujarnya, Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan juga telah melebihi tahap bahaya sebanyak 0.57 meter namun menunjukkan trend penurunan.
“Sungai lain seperti di Johor iaitu Empangan Bekok, Batu Pahat, telah melebihi tahap bahaya sebanyak 0.25 meter dari aras air 18.95 meter.
“Bagi sungai-sungai lain di Pahang seperti Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut, Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh, Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan dan Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan masing-masing telah melebihi tahap amaran,” katanya.
Tambahnya, di Johor, Sungai Gemas di Kampung Lubok Kepong, Segamat, Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian dan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat juga melebihi tahap amaran.
Dalam pada itu, MetMalaysia berkata, sungai-sungai di Terengganu (Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun), Sarawak (Long Teru, Miri), Kedah (Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar) dan Perak (Kolam Air Bukit Merah, Kerian) telah melebihi tahap amaran.
Situasi sama juga turut terjadi di Kelantan melibatkan Sungai Golok di Rantau Panjang (F1), Pasir Mas dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.
Amaran bahaya dikeluarkan apabila aras air sungai mula melimpah dan boleh menyebabkan banjir. Perpindahan perlu dilaksanakan jika perlu. – KOSMO! ONLINE