fbpx

Sindiket seludup minyak diesel nilai keseluruhan RM3.62 juta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL HIZAM pada sidang akhbar di Pos Maritim Pengerang, Tanjung Pengelih, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Satu sindiket penyeludupan minyak diesel beserta rampasan bernilai RM3.62 juta berjaya ditumpaskan dalam operasi dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di ladang kelapa sawit di Sungai Lebam malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, berdasarkan maklumat risikan, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah kapal tangki sedang bergerak dari arah dalam sungai menuju ke luar di sungai berkenaan pada pukul 10.05 malam.

Katanya, ekoran itu seramai 10 lelaki melibatkan lapan warga Indonesia yang merupakan kru kapal serta dua warga tempatan merupakan pemandu lori berusia 19 hingga 60 tahun berjaya diberkas.

“Turut dirampas sebuah kapal tangki, dua lori tangki minyak, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan pam minyak serta 80,000 liter minyak disyaki minyak bersubsidi.

“Ketika penahanan dibuat, kapal yang berdaftar di Zanzibar, Tanzania itu, dipercayai sedang memindahkan minyak. Bagaimanapun, bila menyedari kehadiran Maritim, kapal berkenaan cuba lari daripada agensi penguatkuasa.

“Kita percaya sindiket ini menggunakan pam dan hos minyak sepanjang 600 meter untuk memindahkan minyak diesel daripada lori tangki ke kapal. Kapal ini juga pernah ditahan Maritim sebelum ni atas kesalahan berlabuh secara haram,” katanya pada sidang media di Pos Maritim Pengerang, Tanjung Pengelih, hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih melakukan siasatan bagaimana dan sejak bila sindiket ini masih aktif.

Katanya, bagi isu penyeludupan minyak pihaknya telah membuat pemantauan lama kerana ia satu kesalahan yang serius dan merugikan negara.

“Ini merupakan tangkapan pertama Maritim Johor tahun ini yang melibatkan sindiket penyeludupan minyak diesel. Kesemua yang ditahan akan dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kastam 1967,” katanya lagi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI