PEMILIHAN tas tangan sebagai pelengkap gaya adalah amat penting memandangkan bentuk atau rekaan tas tangan yang tidak sesuai, boleh ‘mencacatkan’ gaya yang ditampilkan.
Sama seperti pakaian, tas tangan juga dihasilkan daripada pelbagai bahan seperti kulit, fabrik dan lain-lain yang mempunyai nilai estetika tersendiri.
Minat terhadap penghasilan tas tangan daripada manik-manik beraneka warna seterusnya mendorong seorang anak kelahiran Kuching, Sarawak untuk mula menjualnya di media sosial.
Kesya Fatin, 28, mengetengahkan gaya tas tangan manik pelbagai rekaan yang bukan sahaja sesuai dijadikan sebagai tas tangan untuk menghadiri acara makan malam tetapi juga digayakan sebagai tas tangan harian.
Rona-rona menarik dengan reka bentuk unik menjadi tarikan pada tas tangan yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan tangan itu.
Kilauan yang ada pada manik-manik pelbagai saiz itu juga menyerlahkan elemen mewah pada tas tangan itu.
Ujar wanita yang mesra disapa Kesya itu, dia pada mulanya hanya menghasilkan tas tangan manik secara suka-suka dan tidak pernah sama sekali berniat untuk menjadikannya sebagai kerjaya.
“Saya memuat naik foto tas tangan manik yang siap dihasilkan di media sosial dan tidak menyangka ia mendapat perhatian orang ramai dan daripada situlah jenama ini bermula dan semakin dikenali,” ujarnya.
Selepas yakin dengan rekaan serta kualiti produknya yang dikeluarkannya, dia mengambil langkah berani dengan memulakan perniagaan sendiri dengan label Kesya Fatin.
Katanya, ia bukanlah satu proses yang berlaku dalam tempoh singkat, namun minat yang mendalam terhadap produk seni menjadi pendorong utamanya dalam memulakan perniagaan tas tangan manik tersebut.
Tas tangan buatan tangan Kesya mula mendapat perhatian di pentas peragaan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) tahun lalu yang seterusnya menjadikan namanya semakin dikenali bukan sahaja dalam kalangan pembeli tempatan, tetapi juga pembeli dari luar negara.
“Saya teruja apabila tas tangan buatan saya itu diperagakan di pentas KLFW 2022 dan saya mula menerima tempahan dari pelanggan-pelanggan luar,” ujarnya.
Selain itu, Kesya baru-baru ini turut berkolaborasi dengan seorang lagi pereka terkenal tanah air, Alia Bastamam dalam menghasilkan tas tangan manik bersama jenama fesyen tersebut.
Keisya menambah, sehingga kini, dia sudah pun menghasilkan lebih 50 rekaan tas tangan manik.
“Kesemua rekaan termasuk struktur tas tangan dan warna-warna manik yang digunakan adalah idea saya sendiri sepenuhnya.
“Buat masa ini, kesemua tas tangan dihasilkan mengikut tempahan memandangkan hanya saya seorang yang terlibat dalam proses penghasilannya.
“Satu tas tangan mengambil masa sekitar 24 jam untuk disiapkan dan harga pula bergantung kepada saiz dan rekaan,” ujarnya.
Selain tas tangan, Kesya turut menjual lanyard daripada manik, yang boleh dibeli pelanggan menerusi laman webnya www.kesyafatin.com atau Instagram @kesya_fatin pada harga RM70 setiap satu.