SHAH ALAM – “Dipanggil binatang, celaka, sial dan sebagainya dalam tempoh seminggu (insiden berlaku), saya tak jawab apa pun asalkan mereka tak kacau peserta”.
Demikian pengakuan juri tetap Famili Duo, Mas Idayu mengimbas momen diserang netizen gara-gara komen pedas terhadap persembahan penyanyi, Sissy Imann bersama sepupunya, Naim Daniel pada konsert suku akhir pertandingan tersebut beberapa minggu lalu.
Mas Idayu 51, lebih rela mendiamkan diri dan dipersalahkan rata-rata pihak yang melayangkan kecaman terhadapnya daripada membiarkan peserta yang terganggu disebabkan kritikan netizen.
“Saya nak mereka fokus sehingga perjuangan tamat di pentas Famili Duo, itu sahaja yang saya harapkan. Jadi tak mengapa, makilah walaupun dikata bodoh dan pelbagai perkataan kesat lain.
“Saya tak rasa apa-apa apabila dihamburkan kecaman atau kata-kata kejian kerana saya jiwa kental,” katanya selepas kemuncak Famili Duo, semalam.
Pada masa sama, penyanyi senior itu mengakui turut menerima kiriman mesej (DM) daripada peserta lain, yang mengatakan dirinya kelihatan melebih-lebihkan dan bersungguh-sungguh mahu melihat peningkatan prestasi Sissy dan Naim berbanding pasangan duo lain.
“Ada peserta DM, kata nampak saya sayangkan dua pasangan sepupu itu berbanding mereka, tetapi itu pun saya tak balas.
“Ketika minggu keenam, Sissy dan Naim persembahkan lagu keroncong dan kami bincang itu kelainan luar biasa, cuma ada kesilapan sehingga saya tak mampu bantu.
“Saya kena bersikap telus dan tak boleh berikan markah tinggi kerana nanti, orang luar akan cakap saya berat sebelah serta tak bijak. Akhirnya, Sissy mula faham,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya lagi mengenai tangisan dan rajuk Sissy tempoh hari sehingga meletakkan dirinya sebagai punca permasalahan, juri berpengalaman itu bertegas langsung tidak terluka dengan perbuatan penyanyi berusia 27 tahun itu.
“Saya tidak terluka dengan tindakan Sissy yang menangis teresak-esak atas pentas pada minggu itu kerana saya boleh nampak dia menangis bukan disebabkan komen saya.
“Sissy tidak marah saya, tetapi saya perhatikan dia menangis selepas teguran Ajai kerana mungkin tegurannya lembut menyebabkan hatinya mula terusik.
“Saya nampak Sissy sebenarnya lebih kecewa dengan diri sendiri, cuma disebabkan dia berdiam diri, netizen hentam saya.
Mengulas pula tindakan enggan memberikan komen kepada persembahan pasangan sama pada minggu separuh akhir, Mas Idayu mempunyai alasan tersendiri.
“Saya mahu mereka kuat seperti orang lain. Saya nak Sissy dan Naim minta sendiri saya komen kerana saya nak mereka kental macam peserta lain.
“Mereka bijak dalam muzik, itu saya dan Ajai memang akui sejak minggu pertama lagi, cuma ada kesilapan pada minggu keenam.
“Kami pun tidak pernah kata persembahan mereka tidak bagus, hanya pada minggu tersebut sahaja tampak ada kekurangan,” ulasnya lagi.
Pada persaingan akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Sissy dan Naim menduduki tempat keempat dan membawa pulang ganjaran wang tunai RM10,000. – KOSMO! ONLINE