fbpx

Red Bull kekal fokus bangunkan jentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VERSTAPPEN menafikan bahawa hukuman yang dikenakan menyebabkan proses pembangunan jentera Red Bull berdepan kesukaran. – AFP

LONDON – Juara dua kali Formula Satu (F1) berturut-turut, Max Verstappen menafikan bahawa hukuman pelanggaran had per­aturan perbelanjaan menyebabkan pembangunan jentera Red Bull RB19 berdepan masalah.

Tahun lalu, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menjatuhkan hukuman denda AS$7 juta (RM29.1 juta) kepada Red Bull kerana dikesan melanggar had peraturan perbelanjaan yang ditetapkan pada kempen Formula Satu (F1) 2021.

Atas kesalahan tersebut, Red Bull juga dikenakan pengurangan 10 peratus daripada bajet dalam penyelidikan aerodinamik untuk membina jentera mereka musim ini.

Disebabkan itu, Red Bull dikatakan berdepan kesukaran membina jentera lebih sempurna untuk menghadapi perlumbaan musim 2023.

“Ketika ini kami hanya fokus pada apa yang kami lakukan sekarang. Sudah tentu pasukan meletakkan segala-galanya usaha mereka untuk membangunkan jentera terbaik.

“Pasukan juga cuba mencapai tahap yang baik dan pastinya harapan pasukan adalah mencari permulaan yang lebih sempurna berbanding tahun lepas.

“Apa yang saya boleh katakan adalah sukar untuk pasukan meramalkan apa yang akan berlaku. Adakah kami cukup baik atau cukup pantas pada saingan musim baharu? Sejujurnya saya tidak tahu.

“Namun, seperti yang saya katakan, kami perlu fokus pada diri sendiri. Itulah satu-satunya perkara yang boleh kita kawal. Kemudian kami akan mengetahui di mana tahap sebenar pasukan pada sesi ujian pramusim nanti,” kata Verstappen.

Sementara itu, Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner turut mendedahkan bahawa jentera RB19 akan kelihatan berbeza apabila turun pada perlumbaan pertama di Bahrain nanti.

“Apa yang kami bawa sewaktu pengenalan penaja di New York baru-baru ini adalah berbeza dengan jentera baharu 2023 nanti.

“Anda akan lihat perbezaan jentera baharu ini,” tegas Horner. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI