PETALING JAYA – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini akan meneruskan pengambilan pekerja meskipun dalam suasana pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan, menurut Indeks PKS suku tahun keempat 2022 oleh firma perkhidmatan sumber manusia, BrioHR.
Indeks berkenaan berdasarkan data daripada lebih 20,000 pekerja pada platform BrioHR bagi menilai keadaan pekerjaan dalam sektor PKS.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benjamin Croc berkata, PKS tempatan lebih komited untuk berjaya tahun ini dan data menunjukkan mereka telah mengatasi jangkaan dan terus mengembangkan tenaga kerja sebanyak tiga peratus berbanding suku sebelumnya.
“Ini berlaku merentasi banyak sektor, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman. Sektor ini adalah yang paling teruk dilanda pandemik, jadi hakikat bahawa mereka kini mengambil lebih banyak pekerja menunjukkan bahawa pasaran sedang pulih,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut Croc, perniagaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menyokong pekerja ketika inflasi terus meningkat dan ancaman kemelesetan ekonomi semakin ketara.
Jelasnya, tinjauan tahunan Jumlah Saraan Mercer 2022 menyebut, kenaikan gaji median Malaysia melebihi purata Asia Pasifik pada 4.4 peratus.
“Berdasarkan penemuan firma perkhidmatan kewangan Aon, kenaikan gaji median 2023 merentas industri ialah 6.8 peratus untuk Indonesia, 5.1 peratus untuk Malaysia, enam peratus untuk Filipina, 4.7 peratus untuk Singapura, 5.1 peratus untuk Thailand dan 7.9 peratus untuk Vietnam.
“Sektor PKS Malaysia juga telah meningkatkan gaji pekerjanya sejak suku pertama 2022,” ujarnya.
Beliau menambah, berdasarkan model makro global Trading Economics dan jangkaan penganalisis, purata gaji rakyat Malaysia diunjurkan kepada sekitar RM3,670/bulan tahun ini dan RM3,920 pada 2024.