fbpx

Pemandu forklift menang BMW RM220,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Amirul Izad Ishak menerima ucapan tahniah daripada Alex Lau selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah kereta BMW 218i M Sport bernilai RM220,000 di Freeport A'Famosa Outlet, Alor Gajah, Melaka. -Foto oleh AMRAN MULUP

ALOR GAJAH – Selepas tiga hari keretanya terlibat dalam nahas di Sungai Udang dekat sini, tuah nampaknya datang bergolek kepada Mohamad Amirul Izad Ishak, 29, apabila diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah ulang tahun ketujuh beli dan menang anjuran Freeport A’ Famosa Outlet, kelmarin.

Dia yang bekerja sebagai pemandu forklift di sebuah kilang membawa pulang kereta mewah jenis BMW 218i M Sport bernilai RM220,000.

Mohamad Amirul Izad berkata, selepas terlibat nahas, dia terpaksa meminjam kereta milik bapa mentuanya untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Ini satu kejutan paling besar dalam hidup saya kerana tiga hari lalu kereta saya berada di bengkel selepas terbabit dalam kemalangan di Sungai Udang.

“Tiba-tiba malam tadi, nama saya diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah sekali gus memenangi kereta BMW 218i M Sport.

“Ini mungkin sudah tuah saya dan tidak menyangka sama sekali hanya dengan satu resit pembelian saya berbelanja di Freeport A’ Famosa Outlet bernilai RM600, saya terima kereta mewah bernilai RM220,000,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan A’ Famosa Resort, Datuk Alex Lau.

Mohamad Amirul Izad merupakan salah seorang daripada 9,000 penyertaan yang layak menyertai cabutan bertuah keseluruhan bernilai RM350,000.

Menurutnya, dia berada di pusat beli-belah itu untuk membeli barangan selepas mendapat bonus tahunan dan langsung tidak menyangka bakal terpilih memenangi kereta mewah itu.

“Bila dengar ada cabutan, saya pun pergi dan duduk tidak jauh daripada tempat cabutan diadakan.

“Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang saya terus mengangkat tangan,” ujarnya yang masih terkejut dengan hadiah dimenangi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI