NEW DELHI – Seorang pelajar lelaki pengsan ketika menduduki peperiksaan kerana cemas dikelilingi oleh 500 pelajar perempuan, lapor laman berita India Times kelmarin.
Pelajar kelas 12 dari negeri Bihar itu dikatakan dari Kolej Allama Iqbal Bihar Sharif. Dia menduduki peperiksaan pertengahan di Sekolah Brilliant.
Menurut ibu saudara pelajar tersebut, dia bukan sahaja pengsan, malah demam secara tiba-tiba sebelum dibawa ke hospital.
“Dia pergi ke pusat peperiksaan dan melihat dewan tersebut dipenuhi dengan pelajar perempuan. Dia menjadi cemas dan demam secara tiba-tiba lalu pengsan,” ujar wanita berkenaan.
Dalam satu video tular di media sosial, pelajar lelaki tersebut disoal mengenai insiden itu namun, dia tidak menjawab walau sepatah pun.
Video itu menjadi tular dengan ada sebilangan netizen yang menyatakan bahawa situasi itu berlaku disebabkan kesan pengasingan gender. – Agensi