fbpx

Orang Malaysia di Turkiye kongsi detik rumah bergegar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Video dan gambar yang dimuat naik di akaun Facebook Dhiya' Urrahman.

PETALING JAYA – ‘Rumah bergegar kemudian diikuti dengan goncangan atas bawah yang sangat-sangat kuat’

Itulah ungkapan seorang warganegara Malaysia yang menetap di Turkiye, dikenali sebagai Dhiya’ Urrahman.

Berkongsi detik cemas menerusi akaun Facebooknya, dia yang menetap di negeri Şanlıurfa, berkata, di kawasan tengah bandar seperti di Bahçelievler dan Haliliye mengalami gempa bumi yang sangat teruk menyebabkan banyak bangunan serta rumah runtuh.

Katanya, ketika kejadian, dia dan isterinya sedang tidur kemudian dikejutkan dengan bunyi gempa bumi diikuti dengan rumah bergoyang dan gegaran atas bawah yang sangat kuat.

“Saya dan isteri menjerit, panik dan takut semua ada. Lepas itu terus bergegas pakai jaket dan ambil barang-barang penting sahaja.

“Dua jam kami tunggu di bawah rumah dengan keadaan cuaca yang sangat sejuk. Kemudian apabila masuk subuh, kami patah balik untuk buang air kecil dan ambil wudhuk. Kemudian menunaikan solat di bangku hadapan kedai makan.

“Pada pukul 10.30 pagi, banyak bangunan depan rumah kami dan bersebelahan telah runtuh sebab sini bangunan lama yang berusia sekitar 30 hingga 40 tahun. Memang keadaan ketika itu nampak seperti dalam peperangan,” ujarnya di dalam satu video.

Tambahnya, gegaran gelombang kedua dirasai lagi ketika dia dan isteri sedang makan dan menunggu bas di Terminal Bas negeri Şanlıurfa namun keadaan mereka dilaporkan selamat.

Dalam pada itu, Dhiya’ turut berkata gempa bumi ini paling dahsyat dalam sejarah Turki sejak tahun 1999 di Istanbul.

Katanya, negeri lain seperti Gaziantep, Malatya dan Osmaniye mengalami runtuhan yang lebih teruk akibat gempa bumi termasuklah kawasan di Malatya, Osmaniye, Kahramanmaraş, Adana, Gaziantep, Şanlıurfa dan Diyarbakır.

Setakat semalam, jumlah korban keseluruhan adalah sebanyak lebih 2,300 mangsa.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter itu menggegarkan Turkiye pukul 4.17 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman sekitar 17.9 kilometer (km).

Kemudian disusuli dengan gempa bumi berukuran 7.5 magnitud melanda wilayah Kahramanmaras pada 1:24 tengah hari (waktu tempatan). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI