SPEZIA – Kedudukan Napoli selaku pendahulu saingan Serie A terus kukuh selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Spezia pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Alberto Picco malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, penyerang Napoli, Victor Osimhen memastikan dia terus memimpin senarai penjaring terbanyak Serie A musim ini apabila meledak dua gol, manakala satu gol lagi dijaringkan Khvicha Kvaratskhelia.
Selepas kemenangan besar itu, jurulatih Napoli, Luciano Spalletti terus memasang hajat besar apabila beliau meletakkan sasaran untuk merangkul gelaran berganda dengan memenangi Serie A dan Liga Juara-Juara.
“Mana-mana pasukan boleh kekal atau menukar sasaran pada bila-bila masa. Bagi Napoli, kami sudah buat keputusan untuk mempertaruhkan kemampuan pasukan bagi mengejar kejuaraan berganda musim ini.
“Saya harap semua pemain kekalkan permainan seperti ini, iaitu turun dengan mentaliti kemenangan dalam setiap perlawanan. Kami perlu lakukannya bagi membalas kepercayaan semua penyokong Napoli,” katanya.
Mengulas aksi ditampilkan barisan pemainnya, beliau gembira kerana mereka menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan.
“Apa yang menjadi perbezaan dalam perlawanan ini adalah mentaliti para pemain Napoli kerana bukan mudah bermain di stadium ini, ditambah kelebihan yang ada pada bahagian tengah Spezia,” ujar Spalletti.– AGENSI