fbpx

Dapat tempahan jahit 300 helai baju raya tak sampai sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazlilah sedang menyiapkan lebih 300 tempahan pakaian raya pelanggannya di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Walaupun Hari Raya Aidilfitri ha­nya akan disambut pada akhir April depan, tukang jahit di bandar raya ini sudah tidak menang tangan menerima tempahan pakaian raya daripada pe­langgan sejak akhir tahun lalu.

Rata-ratanya menerima tempahan melebihi 200 helai iaitu kuantiti hampir sama di­terima mereka sebelum menularnya Covid-19 awal 2020.

Seorang tukang jahit, Mazlilah Ngah, 46, berkata, dia sudah menutup tempahan pakaian raya sejak akhir bulan lalu.

“Saya menerima tempahan baju raya mulai akhir November tahun lalu dan dalam tempoh tidak sampai sebulan lebih 300 helai telah diterima.

“Mahu tidak mahu saya terpaksa tutup tempahan mulai 30 Disember tahun lalu kerana takut tidak sempat siapkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Pasir Panjang, di sini semalam.

Ujarnya, kebanyakan tempahan diterimanya ialah baju kurung moden, kurung Riau, kurung Pahang, sulam biku-biku, dan kebaya yang mahu digayakan pelanggan wanita pada ­Aidilfitri nanti.

Dia yang mempunyai pe­ngalaman selama 20 tahun itu berkata, dia juga menerima tempahan baju raya lelaki se­perti kurta dan baju Melayu.

“Saya terpaksa ambil dua pembantu bagi siapkan semua tempahan tersebut,” katanya.

Seorang lagi tukang jahit, Kasmawati Zainalabidin, 38, berkata, dia juga menerima 250 tempahan daripada pelanggan.

Ujarnya, permintaan luar biasa itu menyebabkan dia terpaksa menolak tempahan baharu sejak 31 Januari lalu.

“Ramai merayu agar terus ambil tempahan mereka tetapi saya terpaksa tolak dengan baik kerana ia sudah di luar kemampuan. Bimbang pula saya jika terpaksa menjahit sehingga ke pagi 1 Syawal,” katanya.

Katanya, dia mengenakan upah semurah RM50 sehelai bagi baju kurung moden dan cajnya meningkat mengikut fesyen dikehendaki pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI