fbpx

Menu Rahmah, pelajar jimat duit makan RM30 seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelaksanaan Menu Rahmah di IPTA mampu mengurangkan beban pelajar terutama mereka daripada keluarga B40. – GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN – Pelaksanaan Menu Rahmah yang menawarkan harga di bawah RM5 setiap hidangan di institut pengajian tinggi awam (IPTA) selepas Aidilfitri mampu mengurangkan per­belanjaan pelajar sehingga RM30 seminggu.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda bagi Jurusan Fizik Kimia di sebuah universiti awam di sini, Nur Amisha Zamani, 22, berkata, kos makan minum dan sara hidup menjadi keutamaan mereka yang menuntut di universiti terutama di bandar-bandar besar.

“Tidak semua pelajar duduk di asrama dan ada juga menyewa di luar. Selain bayaran sewa rumah, banyak kos lain yang ditanggung.

“Menu Rahmah boleh membantu pelajar dari segi penjimatan kos sara hidup dan sekurang-kurangnya kami dapat berjimat sehingga RM30 seminggu.

“Kami hanya belanja RM10 untuk makan tengah hari dan malam berbanding sebelum ini mencecah RM100 sebulan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Katanya, harga menu makanan yang dijual di bawah RM5 sukar diperoleh di rata-rata kafe universiti ketika ini.

“Harga paling murah bagi satu set hidangan tengah hari iaitu nasi, ayam atau ikan dan daging serta sayur dijual antara RM6 hingga RM8 sepinggan.

“Itu belum ditambah dengan sambal belacan yang ditetapkan pada harga RM1 dan minuman. Memang susah nak dapat menu berharga RM5.

“Dengan adanya Menu Rahmah, kita sudah tahu apa isi lauk di dalam pinggan selain menunya kaya dengan protein,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Noor Aishah Abdullah, 22, berharap agar Menu Rahmah yang dilaksanakan di IPTA dapat dikurangkan kepada RM4 hingga RM4.50.

“Ini kerana ramai pelajar universiti terdiri daripada keluarga kategori B40 termasuk mempu­nyai ramai adik-beradik.

“Sekurang-kurangnya dengan Menu Rahmah, kami dapat buat perancangan bajet untuk sebulan terutama kos makanan dan tiket pulang ke kampung,” ujarnya.

Contoh Menu Rahmah yang diperkenalkan di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Di Johor Bahru, Johor, seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Afif Mohd. Azmi, 20, berkata, ketika ini, harga jualan adalah berbeza mengikut gerai.

“Ada yang harga mahal sedikit, ada yang betul-betul murah, tapi berkualiti. Saya selalu belanja antara RM10 sehingga RM12 untuk makan tengah hari,” ujarnya.

Seorang pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Cawangan Pagoh, Zurfarah Alisha Mohd. Zulkifli, 21, pula berharap peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap penjualan Menu Rahmah yang bakal dilaksanakan.

“Kita tahu harga yang ditawarkan adalah murah dan de­ngan peningkatan kos, mungkin sukar untuk peniaga meraih untung.

“Justeru saya berharap mereka yang melaksanakan inisiatif ini tidak mengurangkan kuantiti makanan yang dijual,” katanya.

Di Shah Alam, Selangor, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdul Khushairi Khair Abdul Hamid Khair, 29, berkata, kafe di universitinya ada menawarkan menu berharga se­rendah RM7 setiap hidangan iaitu nasi, ayam goreng dan sayur.

Katanya, dengan pelaksanaan Menu Rahmah nanti, ia dapat menjimatkan perbelanjaan makanan sehingga RM6 sehari.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dilaporkan akan melancarkan Menu Rahmah di 20 kafe IPTA di sekitar Lembah Klang selepas Aidilfitri ini.

Langkah itu adalah sebagai permulaan sebelum program itu diperluaskan ke IPTA lain di seluruh negara serta di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institusi lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI