fbpx

Mahkamah tolak petisyen kerusi Parlimen Masjid Tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSFINAH ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka, hari ini. -Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan kos sebanyak RM20,000.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan demikian setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak dalam dua prosiding yang berjalan pada 17 dan 31 Januari lepas.

Peguam Mohd. Faizi Che Abu yang mewakili penyandang kerusi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, hakim mendapati terdapat merit dan menerima dua hujahan bantahan awal iaitu petisyen difailkan melebihi tempoh dibenarkan dan pihak pempetisyen gagal menjelaskan lebih lanjut fakta-fakta dikemukakan dalam petisyen berkenaan.

Katanya, susulan pembatalan petisyen itu, hakim mengisytiharkan Mas Ermieyati kekal sebagai penyandang kerusi dan beliau telah dipilih secara sah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu.

“Perkara asas yang hakim tekankan adalah mana-mana petisyen yang hendak dibatalkan dengan alasan berlakunya amalan rasuah perlu difailkan dalam tempoh 28 hari daripada tarikh kejadian yang didakwa berlaku pada 19 November 2022. Oleh itu telah berlaku kelewatan selama 17 hari.

“Begitu juga dengan jamuan yang dibuat pada 3 Disember 2022, tetap lewat tiga hari daripada tempoh yang dibenarkan.

“Selain itu, kandungan petisyen juga bercampur aduk dan tidak menjelaskan bagaimana pelantikan ejen-ejen yang dinamakan dalam petisyen.

“Pempetisyen tidak menjelaskan bagaimana responden (Mas Ermieyati) ini melantik individu-individu yang dikatakan sebagai ejen beliau. Apabila fakta tidak jelas, hakim menyatakan ia tidak mematuhi kaedah-kaedah petisyen,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hakim Abdul Wahid memfailkan petisyen pada 3 Januari lepas atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

Sementara itu, peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili Abdul Hakim memaklumkan, anak guamnya telah mengarahkan untuk membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah yang menolak petisyen berkenaan.

Menurutnya, rayuan akan difailkan ke Mahkamah Persekutuan dalam tempoh masa terdekat.

“Kami akan memasukkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi kerana kami percaya berlaku beberapa perkara yang boleh dirayu.

“Ada beberapa perkara yang perlu ditegakkan dan saya khuatir perkara itu akan berkait dengan kes-kes perbicaraan yang lain jika kami tidak failkan rayuan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI