PUTRAJAYA – Dua sahabat terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan sabitan terhadap dua pertuduhan mengedar dadah methamphetamine seberat 626.55 gram lima tahun lalu.
Meskipun terlepas hukuman gantung bagi pertuduhan mengedar, Mohd. Shazril Hafez Ibrahim, 29, dan Ahmad Sawal Ramle, 32, disabitkan kesalahan memiliki dadah dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan representasi bagi mengetepikan hukuman gantung iaitu mengedar kepada memiliki dadah diterima Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Setelah mempertimbangkan mitigasi, perayu masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bermula dari tarikh mereka ditangkap pada Februari 2018,” kata Hakim Kamaludin.
Dua lagi panel hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Supang Lian.
Mengikut pertuduhan pertama baharu itu, mereka didakwa bersama-sama memiliki methamphetamine seberat 75.06 gram di dalam bilik hadapan sebuah rumah di Jalan Kuala Berang, Kampung Padang Midin, Bukit Payong, Marang, pukul 6.30 petang, pada 8 Febuari 2018.
Sementara bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis sama seberat 551.49 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.
Justeru bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.
Dalam prosiding hari ini kedua-dua tertuduh selaku pemohon diwakili peguam Hisyam dan Low Wei Loke manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Hisyam Mohd. Jaafar.
Untuk rekod pada Januari 2021, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah mengedar dadah tersebut.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.
Mereka didakwa mengikut seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE