KASIH sayang pelakon Lee Soo-hyuk kepada penggemar setianya menjadi perhatian selepas dia menunaikan impian seorang peminat yang mahu memiliki set fon kepala (headphone).
Pada 4 Februari lalu, Soo-hyuk memuat naik hantaran InstaStory memaklumkan berita gembira buat seorang peminat.
“@kingmxker (nama peminat) mesej ID dan anda akan mendapat ini (AirPods Max). Gunakan simpanan anda untuk sesuatu yang lebih baik.
“Terima kasih dan semoga berjaya pada tahun 2023. Saya akan bekerja lebih keras pada tahun ini,” tulisnya.
Kisah di sebalik sikap murah pelakon itu berlaku disebabkan dia membaca hantaran Instagram peminat berkenaan.
Difahamkan, peminat itu melakukan trend popular iaitu membuka satu akaun simpanan dan menetapkan satu jumlah deposit apabila selebriti kegemaran mereka memuat naik siaran baharu dalam media sosial.
Dia memutuskan membuat deposit 30,000 won (RM103) untuk setiap hantaran Instagram Soo-hyuk sebanyak tiga kali dan satu InstaStory dalam masa satu jam.
Trend tersebut merupakan budaya baharu untuk membantu sikap menabung dalam kalangan orang muda pada masa kini.