KOTA BHARU – Kos membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) di Kelantan dalam tempoh lebih dua tahun bermula 2021 sehingga tahun ini mencecah RM172.3 juta.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerosakan itu dikenalpasti melibatkan infrastruktur seperti jalan, jambatan, sistem saliran, pengairan, jeti dan cerun.
Menurutnya, jumlah tersebut membabitkan kerugian berjumlah RM107 juta pada MTL 2021 dan anggaran kerugian RM65.3 juta bagi MTL tahun 2022 sehingga 7 Februari lalu.
“Ia merupakan jumlah yang dapat dikenalpasti setakat ini. Apabila maklumat dikemaskini selepas ini, angka tersebut mungkin meningkat.
“Sehubungan itu, pembangunan Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana Kelantan) sangat penting bagi mengumpul maklumat awal bencana secara sistematik dan bersepadu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran e-Bencana Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan berkata, e-Bencana Kelantan yang dibangunkan dengan kos RM300,000 itu akan menjadi mekanisme pengurusan bencana yang lebih kemas dalam menentukan peranan dan tanggungjawab agensi-agensi terlibat.-KOSMO! ONLINE