JASIN – Seorang anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (komando) dikhuatiri lemas di Pulau Undan, Merlimau, di sini, petang tadi.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Syakirin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian lemas pada pukul 5.31 petang tadi.
Katanya, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa, dikenali sebagai Edrin Baintim, 25, yang berpangkat lans koperal sedang menjalani kursus juruselam.
“Setibanya pasukan operasi di tempat kejadian, benar terdapat seorang mangsa lelaki berumur 25 tahun yang juga anggota tentera unit komando telah lemas.
“Mangsa dipercayai lemas bersama peralatan menyelam semasa menjalani kursus juruselam di kawasan perairan Pulau Undan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, setakat pukul 8 malam tadi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih dijalankan dengan kekuatan anggota seamai 16 orang dari BBP Merlimau dan BBP Melaka Tengah.-KOSMO! ONLINE