JOHOR BAHRU – Tindakan seorang kakitangan perubatan hospital kerajaan di negeri ini meminta dan menerima rasuah untuk menukar sampel air kencing mengundang padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 51 tahun itu telah menerima wang berjumlah kira-kira RM20,000 untuk melakukan perbuatan berkenaan.
Suspek bertindak menukar keputusan air kencing daripada sampel-sampel yang diambil daripada mana-mana individu yang menjalani ujian saringan untuk pengesanan kandungan dadah.
Dia ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor pada pukul 8.30 pagi hari ini.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan suspek.
“Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
“Suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada pukul 9 pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE