KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah lama memperkenalkan konsep menu murah pada harga serendah RM3 hingga RM6 setiap hidangan.
Seorang pelajar UniSZA, Muhammad Al Muhaimin Mohamad Hazman, 20, berkata, dengan harga mampu milik itu, mereka boleh menikmati pelbagai juadah menarik seperti nasi lemak, kuetiau goreng, chicken chop, nasi Arab, maggi rebus dan meatball.
“Buat masa ini, menu yang disajikan di kafe-kafe kampus UniSZA masih menawarkan harga mampu milik kepada pelajar,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Seorang lagi pelajar, Raziq Iqbal Rizal Aman, 23, pula berharap Menu Rahmah yang akan diperkenalkan mempunyai nutrisi seimbang sesuai dengan keperluan serta gaya hidup mereka sebagai pelajar.
“Tidak mahulah Menu Rahmah itu sekadar nasi bujang yang menawarkan nasi putih dengan lauk ayam goreng serta kuah lemak atau sup kosong dan air sirap pada harga RM5. Kalau boleh perlu dilengkapi sayur-sayuran.
“Inisiatif ini sebenarnya telah lama diambil pengusaha kafe di kampus UniSZA bagi meringankan beban pelajar,” ujarnya.