SHAH ALAM – Prihatin dengan kos sara hidup terutama pelajar universiti dan warga emas di bandar mendorong D’Hielo Cafe menyahut seruan kempen Menu Rahmah.
Pemilik kafe itu, Ayob Mohd. Khalid,39, berkata, penyertaan mereka sejak seminggu lalu atas dasar tanggungjawab bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian orang ramai.
Katanya, dia bersyukur kerana turut mendapat sokongan daripada isterinya, Nurul Ain Ibrahim,36, sebaik cadangan bagi menyediakan menu tersebut di kafe itu yang telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
“Dua menu tersebut adalah nasi putih ayam kunyit dan nasi bersama ikan kembung goreng serta taugeh goreng yang dijual RM5.
“Kebanyakan pelanggan yang beli makanan dalam menu ini adalah golongan pelajar universiti dan warga emas. Sudah tentu, kami gembira dapat membantu mereka menikmati juadah semurah itu,” katanya ketika ditemuinya di kafenya yang terletak di Seksyen 17, di sini, hari ini.
Ayob memberitahu, secara purata berjaya menjual kira-kira 50 pinggan makanan dalam Menu Rahmah itu setiap hari.
Tambahnya, walaupun berdepan kos bahan mentah yang tidak stabil namun dia masih memperoleh keuntungan sedikit daripada dua makanan tersebut.
Ketika ditanya sama ada ini adalah strategi perniagaan, Ayob menjelaskan perkara paling penting adalah bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat, terutama golongan B40.
“Rezeki itu akan sentiasa ada. Lagipun, saya merasakan banyak kedai atau restoran makanan akan turut menyertainya nanti kerana menggalakkan persaingan sihat,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE