PUTRAJAYA – Seramai lima individu akan dilantik bagi menganggotai badan penasihat khas yang berperanan membantu menasihati Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga merupakan Perdana Menteri berkata, badan penasihat khas itu terdiri daripada golongan profesional serta pakar ekonomi yang akan diketuai oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Hassan Marican.
“Selain beliau, badan penasihat khas ini juga akan dianggotai oleh Pengerusi Eksekutif FVSB, Datuk Ahmad Fuad Md. Ali dan Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Profesor Dr. Yeah Kim Leng.
“Turut menganggotai badan penasihat ini adalah Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah dan Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Anwar, beliau turut mengulangi pendirian bahawa badan penasihat khas yang dilantik itu tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan. – KOSMO! ONLINE