LONDON – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya terlepas peluang paling besar dalam usaha untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris selepas tewas 0-1 berdepan Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Ketika Arsenal kalah mengejut berdepan Everton sebelum ini, City sepatutnya perlu mengambil kesempatan dengan meraih kemenangan ke atas Spurs untuk mengurangkan jurang mata, namun kekalahan itu menyaksikan The Gunners mampu menarik nafas lega menerusi kelebihan lima mata serta masih kekurangan satu perlawanan.
Jaringan tunggal menerusi Harry Kane itu menyaksikan Stadium Tottenham Hotspur terus menjadi badi buat City apabila mereka tewas dalam lima aksi EPL sebelum ini.
“Sudah tentu kekalahan ini membuatkan peluang kami sukar terutama ketika Arsenal tidak banyak melepaskan mata dalam perlawanan yang mereka hadapi.
“Kami memulakan aksi dengan cukup baik dalam banyak aspek, tetapi selepas kami melakukan kesilapan dua minggu lalu, kami mengulanginya lagi pada perlawanan kali ini.
“Kami tidak berada pada kedudukan yang baik untuk berfikir dan membayangkan kejuaraan. Tumpuan kami adalah perlawanan menentang Aston Villa selepas ini, kami perlu bersiap dan bermain dengan cara kami sendiri sebaik mungkin.
“Tottenham adalah pasukan yang menakjubkan dan mereka mampu untuk menghukum anda. Mereka memiliki banyak kualiti di bahagian serangan menyebabkan mereka tidak memerlukan transisi ataupun set-piece,” jelasnya. – AGENSI