BANGKOK – Seorang bayi perempuan berusia 19 bulan terperangkap di dalam perigi di sebuah kawasan pedalaman di Thailand, kata pihak berkusa hari ini, dengan anggota penyelamat berusaha menggali sepanjang malam bagi menyelamatkan kanak-kanak itu.
Mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam perigi selebar 30 sentimeter di wilayah Tak, berdekatan dengan sempadan Myanmar, ketika sedang bermain pada petang semalam.
Anggota penyelamat bekerja keras sepanjang malam menggunakan penggali mekanikal bagi menyelamatkan kanak tersebut, yang merupakan anak kepada seorang pekerja asing dari Myanmar.
“Kami hampir mencapai kanak-kanak itu dan dia masih hidup,” kata Ketua Polis Phop Phra, Ratsaran Ketsoising kepada AFP.
Beberapa video di lokasi kejadian yang dikongsikan menunjukkan pasukan penyelamat bekerja keras menggali tanah di samping sebuah ambulans yang dalam keadaan bersiap sedia. – AFP