PETALING JAYA – Selepas bertindak mengunci mulut tentang kisah putus tunangnya bersama Datuk Seri Khazrul Elzey, pelakon Zarina Anjoulie akhirnya tampil memohon maaf kepada semua pihak atas apa yang berlaku.
Zarina atau nama lengkapnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 35, mengakui dirinya tidak cukup sempurna dan masih berusaha untuk berubah perlahan-lahan menjadi seseorang yang lebih baik.
“Saya minta maaf pada semua pihak. Saya minta maaf kerana tidak cukup sempurna. Saya masih berusaha untuk berubah perlahan-lahan,” ujarnya menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya.
Kata pelakon yang mesra disapa Anju itu lagi, dia turut berharap suatu hari nanti ada seseorang yang boleh menerima dirinya dengan ikhlas dan meminta diberikan ketenangan untuk kembali ‘sembuh’ daripada ‘luka’ yang dialaminya.
“Harap satu hari nanti ada yang boleh terima saya seadanya dengan ikhlas. Beri saya ‘kesembuhan’ dengan tenang ya. Saya sayang semua,” katanya.
Terdahulu, Zarina membuatkan peminatnya tertanya-tanya selepas dia bertindak memadam semua gambar tunangnya, Datuk Seri Khazrul Elzey dalam Instagram miliknya.
Bahkan, pelakon filem Hantu Kuat Ketawa itu turut berkongsi kapsyen ringkas memberitahu hatinya kini sedang remuk (broken).
Bagaimanapun semalam, Khazrul menerusi perkongsiannya dalam TikTok memberi bayangan seolah-olah mengesahkan ikatan antara mereka sudah pun terlerai di tengah jalan.
Walaupun impian untuk memperisterikan Zarina tidak kesampaian, Khazrul berharap dapat terus menjalinkan persahabatan dengannya. – KOSMO! ONLINE