REMBAU – Seorang warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dalam nahas di Kilometer 1, Jalan Chengkau Ulu, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, mangsa, Mansal Bakar, 73, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Iswara memandu dari arah Kampung Chengkau Ulu menghala ke Tampin.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas merempuh masuk pagar Tabika Kemas Kampung Chengkau Ulu dan melanggar tiang bangunan tabika.
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE