UNIVERSITY For Society (U4S) merupakan sebuah jenama yang menggabungkan kepakaran dari pelbagai universiti di Malaysia untuk membantu komuniti menyelesaikan masalah yang dihadapi.
U4S adalah sebuah program yang bernaung dan ditaja oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang dibahagikan kepada beberapa zon.
Antara zon yang aktif membantu komuniti adalah zon tengah (Selangor) yang terdiri dari gabungan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Gabungan universiti di zon tengah itu memfokuskan lokasi di sekitar Prima Saujana, Seksyen 1, Kajang, Selangor.
Komuniti kawasan tersebut berhadapan dengan masalah pembiakan nyamuk aedes yang aktif serta menyumbang kadar penularan denggi sangat pantas.
Menurut Prof. Dr. Hidayatulfathi Othman yang juga pakar entomologi di UKM, aktiviti membanteras penularan denggi di kawasan itu perlu dilakukan dan ia menjadi tanggungjawab setiap individu di dalam komuniti.
Jelasnya, gabungan tiga buah universiti tersebut membolehkan semua pakar melaksanakan program pemindahan ilmu secara mendalam kepada komuniti.
“UKM bersama-sama dengan persatuan penduduk sejak pertengahan tahun lalu telah mewujudkan skuad Communication for Behavioural Impact (COMBI).
“Skuad ini diwujudkan bagi bersama-sama bertindak memerangi aedes di kawasan komuniti yang terjejas.
“Menerusinya, kaedah mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dapat diperluaskan, sekali gus membanterasnya secara total,” katanya.
Karnival U4S Zon Tengah itu telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd. Sharil Abdullah.
Bertemakan Banteras Aedes Semudah 123, dianggarkan lebih 5,000 pengunjung hadir ke karnival tersebut dengan penyusunan pelbagai aktiviti menarik.
Antara aktiviti yang diadakan adalah pameran, kuiz denggi, aktiviti mencari jentik-jentik, pertandingan mewarna dan banyak lagi yang bertemakan banteras aedes.
Tambah Hidayatulfathi lagi, pihak UKM telah memasang gegantung yang mengandungi mesej tentang pencegahan denggi di sekitar Taman Prima Saujana, Seksyen 1, Kajang.
“Menerusi gegantung ini, kami harap ia dapat menyedarkan komuniti agar lebih cakna tentang pentingnya membanteras aedes dan tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya.
Sementara itu, Dr. Juju Nakasha Jaafar yang mewakili UPM berkata, perasmian kebun komuniti pada hari karnival itu juga bertujuan memerangi virus denggi di kawasan tersebut.
“Kebun ini diwujudkan hasil daripada pemindahan ilmu pihak UPM kepada komuniti.
“Pelbagai tanaman penghalau nyamuk ditanam di kebun ini seperti jeremin, lavandula, selasih, kantan dan bunga tahi ayam.
“Ia bertujuan menjaga kebersihan kawasan sekitar dan mengurangkan pembelian hasil pertanian di luar.
“Kebun ini juga secara tidak langsung dapat memupuk minat komuniti untuk bercucuk tanam,” ujarnya.
Karnival tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelajar dari tiga sekolah berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian SBT, SK Saujana Impian (2) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian.
Ketiga-tiga sekolah itu dipilih UPNM yang diketuai oleh Dr. Najjah Salwa Abd Razak bagi melakukan program pemindahan ilmu tentang denggi.
Menerusi penglibatan pelajar-pelajar sekolah, ia menjadikan program kesedaran tentang denggi lebih berkesan dan menyeluruh kerana melibatkan kanak-kanak, remaja serta golongan dewasa.