LUMUT – Tandas Awam Esplanade Lumut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila ia dianugerahkan The 2nd ASEAN Public Toilet Award 2023-2024 di ASEAN Tourism Forum 2023 di Yogyakarta, Indonesia semalam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Shamsul Hazeman Md. Salleh berkata, Tandas Awam Esplanade Lumut mula menempa kejayaan apabila mendapat tempat pertama serta mencapai penarafan lima bintang dalam Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Terbersih dalam Kempen Kesihatan Persekitaran anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2021.
“Berkat hasil usaha serta komitmen untuk mengekalkan penganugerahan yang telah diterima pada 2021 di peringkat kebangsaan, Tandas Awam Esplanade Lumut kini berjaya mengangkat nama daerah Manjung di persada antarabangsa.
“Pencalonan dan penganugerahan adalah berdasarkan kategori tandas awam Esplanade Lumut yang berada di lokasi pelancongan dan mempunyai ciri-ciri ‘wow factor’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara ciri-ciri tersebut ialah elemen kitar semula, keadaan di dalam dan di luar tandas serta mempunyai taman herba yang mempunyai pelbagai jenis tanaman tersebut sebagai landskap bagi mengindahkan lagi kawasan tandas berkenaan.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Bahagian Kerajaan Tempatan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak atas kepercayaan dan sokongan yang padu kepada MPM.
“Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya kakitangan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar, MPM yang telah berjaya membantu MPM mendapat anugerah yang berprestij ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada empat pihak berkuasa tempatan lain (PBT) lain iaitu Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Daerah Kota Tinggi yang turut menerima anugerah sama.
“Usaha MPM tidak akan terhenti di sini. Kami di MPM akan terus komited untuk meningkatkan taraf tandas-tandas awam lain namun pastinya sedikit masa dan kos diperlukan untuk tandas-tandas yang sebelum ini diselenggara oleh pihak operator,” katanya. – KOSMO! ONLINE.