PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan hubungan baiknya bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar apabila mengadakan pertemuan dengan baginda petang semalam.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Ismail Sabri berkata, beliau mengadakan pertemuan itu di Istana Danga, Johor Bahru.
“Setiap kali ke Johor, menjadi satu kemestian bagi saya menghadap Tuanku Sultan dan sesi menghadap kali ini adalah bersempena percutian saya dan keluarga ke Johor Bahru,” tulisnya.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pada sesi menghadap itu, beliau sempat mendengar titah dan bertukar fikiran bersama Tuanku.
“Peluang menghadap kali ini pastinya bermakna apabila dapat mendengar titah pandangan serta nasihat Tuanku Sultan, sambil bertukar buah fikiran.
“Saya mendoakan Duli Tuanku, serta seluruh Kerabat Diraja, sentiasa dilimpah rahmat dan dipayung berkat serta dikurniakan kesihatan juga kesejahteraan. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya.
Terdahulu, pada hantaran sebelum itu, Ismail Sabri kelihatan meluangkan masa bersama cucu dan ahli keluarganya bercuti di Legoland.
“Seronok bila saya dapat meluangkan waktu bersama Keluarga Malaysia secara santai. Lebih mesra bila bertemu di luar program rasmi.
“Sambil membawa cucu ke Legoland Johor, saya dapat bertemu dan berborak santai dengan Keluarga Malaysia yang juga sedang bercuti bersama anak dan cucu masing-masing.
“Selamat bercuti ‘and enjoy your long weekend with your family’. Stay safe semua,”jelas Ismail Sabri.- KOSMO! ONLINE.