SEREMBAN – Polis sedang mengesan seorang pemandu lori yang dipercayai cuba merempuh orang awam yang sedang minum di luar sebuah kedai makan di Taman Permai 3 di sini berdasarkan sebuah video tular di media ssoial.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Kerapu Taman Permai 3 di sini namun tarikh dan waktu kejadian masih dalam siasatan.
“Polis dalam usaha mengenal pasti suspek dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya dalam kejadian di sini hari ini.
Menurut Nanda, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung insiden tersebut.
“Pihak polis kini dalam usaha mengenal pasti pemandu lori terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan.
“Mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 1.03 minit memaparkan suspek lelaki secara tiba-tiba mengundurkan lori dipandu secara melulu ke arah kerusi dan meja makan di situ sehingga mengejutkan beberapa pelanggan.
Tindakan lelaki terbabit telah mengundang marah orang awam yang kemudian mengarahkannya untuk beredar. – KOSMO! ONLINE.