MERSING – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang memasuki hari keenam disyaki hilang di Pulau Mawar dipergiat dengan menggunakan peralatan pengimejan suhu di beberapa lokasi sekitar lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superitendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, peralatan pengimejan suhu itu digunakan sejak semalam ekoran usaha mengesan mangsa Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 19, tidak menemui petunjuk.
“Setelah SAR tidak menemui sebarang petunjuk positif, pasukan mencari dan menyelamat menggunakan peralatan pengimejan kerana mampu mengesan suhu badan sekali gus membantu menjejak sekiranya mangsa berada di pulau berkenaan.
“Bagaimanapun kami masih meneruskan pencarian membabitkan tiga sektor iaitu daratan, sungai dan perairan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, usaha SAR yang digerakkan sejak Jumaat lalu akan diteruskan meskipun berdepan cabaran cuaca hujan berterusan sejak petang semalam.
Menurutnya, anggota yang terlibat juga telah menjejaki keseluruhan Pulau Mawar yang mana keluasannya lebih kurang tiga kilometer (km) persegi secara berulang kali sejak hari pertama operasi dilancarkan.
Terdahulu, Muhamad Akmal dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taman Makmur, Kluang sejak Rabu lalu.
Bagaimanapun motosikal dinaiki mangsa ditemui di kawasan Pulau Mawar dan dipercayai ditinggalkan bagi membolehkannya melakukan aktiviti mendaki di pulau berkenaan. – KOSMO! ONLINE