ISKANDAR PUTERI – Kementerian Kewangan bakal mengadakan pertemuan dengan PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) bagi membincangkan permohonan kerajaan Johor berhubung penambahan lorong Lebuh Raya Utara-Selatan di negeri ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan maklum balas syarikat pengendali lebuh raya itu berhubung isu berkenaan.
Menurut beliau, maklum balas tersebut penting kerana penambahan lorong laluan telah diumumkan dalam manifesto sempena dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
“Minggu ini saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak PLUS bagi membincangkan cadangan dibangkitkan kerajaan negeri Johor iaitu untuk menambah lorong antara Yong Peng hingga Johor Bahru.
“Ini juga merupakan permintaan ramai pihak bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang terus berlanjutan sejak sekian lama, khususnya pada waktu cuti atau musim perayaan.
“Lebuhraya PLUS di Melaka dan Negeri Sembilan sudah dibesarkan menjadi enam dan lapan lorong, namun apabila tiba di Johor, hanya empat sahaja lorong sedangkan negeri ini memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Kota Iskandar, di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE.