TIDAK kira apa juga pertandingan, negara ini memiliki ramai peminat bola sepak yang dianggap sebagai sukan nombor satu di peringkat global dan mempunyai jutaan pengikutnya tersendiri.
Sebut saja Bundesliga, Serie A, Ligue 1, La Liga atau pun yang paling tersohor, Liga Perdana Inggeris, pasti ada pengikut, malah baru-baru ini peminat di seluruh dunia dilanda ‘demam’ Piala Dunia, menyaksikan Argentina muncul juara.
Mengambil kira perbezaan masa dan waktu sebenar di Malaysia, majoriti perlawanan itu hanya dapat disaksikan secara siaran langsung di kaca televisyen pada sebelah malam atau pun awal pagi, namun hakikatnya di venue sebenar ia dilangsungkan waktu tengah hari atau petang.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan kadar pencahayaan menjadi antara sebab kepada penganjur pertandingan luar lebih gemar melangsungkan perlawanan sebelah siang, malah jika di Eropah aspek cuaca juga mungkin antara yang turut diambil kira.
Situasi ini agak jauh beza dengan Liga Malaysia (Liga M) kerana sejarah pernah menunjukkan sepak mula pada sebelah petang hanya menjadi pilihan kedua buat sesebuah pasukan untuk bermain di gelanggang sendiri sekiranya kadar pencahayaan di stadium tidak mencapai tahap ditetapkan.
Bagaimanapun, seiring transformasi yang dilakukan terhadap Liga Malaysia (Liga M), baru-baru ini Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut memperkenalkan ‘nafas baharu’ kepada pilihan waktu sepak mula pada sebelah siang.
Slot masa perlawanan yang diberikan adalah pada pukul 4.30 atau 4.45 petang untuk aksi di Sabah dan Sarawak, manakala 5.15 atau 5.30 petang bagi perlawanan di Semenanjung.
Mungkin ada yang beranggapan faktor cuaca di negara ini tidak sesuai untuk perlawanan dilangsungkan pada sebelah siang, sebaliknya Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah membuktikan sebaliknya ketika menoktahkan kemenangan ke atas juara Liga Korea Selatan, Ulsan Hyundai untuk mengungguli carta Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman juga menyambut baik pendekatan diambil MFL dan berasakan aksi sebelah siang harus dilihat daripada sudut positif demi kebaikan kelangsungan kelab, terutamanya untuk hadapi musim penuh mencabar.
“Kita di Kelantan FC ada pengalaman bermain di waktu petang, jadi jadual yang dibuat MFL pada saya main petang dapat bantu peminat wanita hadir ke stadium sebab kalau semua perlawanan main malam, habis pada jam 11 atau 12 malam saya rasa peminat wanita nak datang pun dia takut.
“Jadi, kalau buat petang dapat elak unsur-unsur negatif, malah boleh bawa anak-anak kecil. Pada saya, apabila anak-anak muda datang ke stadium, ia patut digalakkan sebab ia sebenarnya beri impak lima, 10 atau 20 tahun ke depan sebab mereka ini ada memori untuk meminati apa yang ayah mereka minat ketika muda.
“Saya rasa untuk pembangunan industri bola, kalau ada waktu siang, dalam masa 20 tahun nanti mereka akan membesar dan minat bola sepak. Jadi, kenapa kita tidak mencuba main waktu petang. Pada saya, MFL sudah tentu telah buat kajian mendalam untuk setiap waktu dan masa yang dirancang,” katanya.
Hakikatnya, selain soal keselamatan yang lebih terjamin buat peminat wanita serta kanak-kanak, banyak lagi faedah boleh diraih jika perlawanan dilangsungkan pada sebelah siang.